Thursday, June 17, 2010

Sejarah Kota Makkah al-Mukarramah

Makkah (Al-Balad Al Haram) adalah tanah suci yang paling di cintai oleh Allah SWT dan Rasul-Nya, ia juga sebagai kiblat bagi kaum muslimin. Kota Makkah mempunyai banyak nama, terdapat lima puluh nama kesemuanya. Namun Allah SWT menyebutnya dalam al-Qur’an dalam lima sebutan iaitu: Makkah, Bakkah, Al-Balad, Al-Qaryah dan Ummul Qura.

Allah SWT menjadikan kota Mekkah sebagai kota suci ibadah Haji yang terdapat Kaabah didalamnya, iaitu binaan pertama di muka bumi dimana segala sesuatu yang terdapat di Makkah baik berupa pokok – pokok, tanaman dan bahkan burung tidak boleh diusik. Amalan perbuatan yang dilakukan didalamnya memberikan pahala dan dosa yang berlipatganda dibandingkan tempat lain, seperti mengerjakan solat di Makkah (Masjid Haram) pahalanya sama dengan seratus ribu kali solat di tempat lain.

Riwayat daripada Jabir bin Abdullah r.a menceritakan bahawasanya Rasullullah s.a.w bersabda: “Solat di Masjidku ini lebih utama daripada seribu solat di tempat lain, kecuali di Masjid Al-Haram lebih utama pahalanya daripada 100,000 sembahyang di tempat yang lain” [Lihat Imam Ahmad 3/342,397]

Keutamaan sekali solat di Masjid Haram mengikut hadis diatas setara dengan melakukan solat lima waktu selama 55 tahun, 6 bulan dan 20 hari.  Allah SWT melindungi dan menjaga kesucian serta bersumpah atas nama kota Makkah disebabkan oleh kedudukan mulianya yang terbentuk sejak proses penciptaan syurga dan dunia. Disebutkan dalam firman Allah SWT yang berbunyi:

”Dan sesiapa yang masuk ke dalamnya aman tenteramlah dia” [Ali-Imran:97]

”Aku bersumpah dengan negeri (Makkah) ini” [Al-Balad 90:1]
                                                         

Rajah 1. Tanah Haram disekeliling kota Makkah

Kependudukan kota Makkah dimulai dari puak Amaliqah, diikuti Jurhum dari Yaman. Keluarga Nabi Ibrahim iaitu anaknya Nabi Ismail telah berkahwin dengan suku Jurhum dan telah melahirkan golongan Musta’ribah. Selepas itu muncul Bani Khuzaah menguasai Makkah selama tiga kurun. Bani Khuzaah memperkenalkan penyembahan berhala berterusan pada zaman kaum Quraisy dan Nabi Muhammad s.a.w

1.1   SEJARAH PEMBINAAN KAABAH

Allah SWT berfirman:

”Allah menjadikan Kaabah, rumah yang mulia itu, sebagai tempat tumpuan manusia (untuk menjalankan ibadat dan hal-hal kehidupan).”[Al-Maidah 5:97]

Kaabah merupakan binaan suci milik Allah SWT yang terletak di tengah Masjidil Haram. Berdasarkan riwayat al-Azraqi dari Abu Nujaih dikatakan ”Disebut Kaabah kerana ianya berbentuk kubus (Ka’b) dan berbentuk empat persegi (Muraabba’)”.

2.1.1  ASAS PEMBINAAN KAABAH

Kaabah telah dibina lebih dari satu kali, namun hanya lima kali sahaja pembinaan Kaabah yang terkenal dalam sejarah. Pertama, Kaabah dibina oleh para Malaikat, kali kedua Kaabah dibina oleh Nabi Adam a.s., kali ketiga Kaabah dibina oleh Nabi Ibrahim a.s., keempat Kaabah dibina kembali oleh Suku Quraisy pada masa jahiliyah, dan perkara ini disaksikan oleh Nabi s.a.w ketika berumur 25 tahun, dan yang kelima dibina kembali oleh Ibn Az-Zubair r.a.

·        Bagaimana Ibrahim a.s. dan Ismail a.s. membina Kaabah

Allah SWT menyuruh Nabi Ibrahim membawa Ibunda Hajar setelah melahirkan Nabi Ismail ke Makkah. Setelah Meninggalkan Hajar dan Ismail a.s. di Makkah, baginda sentiasa mengunjungi serta memeriksa mereka.

Pada suatu kunjungan Nabi Ibrahim a.s. dan Nabi Ismail a.s. untuk menjalankan perintah Allah membina sebuah rumah di Makkah. Baginda menunjukkan pada suatu bidang yang lebih tinggi daripada di sekelilingnya dan mula meletakkan asas dari batuan (Al-Maqam) yang disiapkan Nabi Ismail sebagai pijakan. Kemudian mereka berdo’a sambil berpusing di sekitar binaan tersebut:

”Ya Tuhan kami! Terimalah amalan kami, sesungguhnya Engkau maha mendengar lagi Maha Mengetahui.” [Al-Baqarah 2:127]

·        Bagaimana Quraisy Membina Kaabah Kembali

Ketika itu, barang berharga milik Kaabah telah banyak dicuri. Suku Quraisy membinanya kembali dan memasang atap-atapnya dari kepingan kayu kapal seorang peniaga Rom yang terkandas di tepian pantai Jeddah. Perobohan Kaabah dimulai oleh al-Walid bin al-Mughirah lalu diikuti orang ramai.

·        Nabi Muhammad s.a.w Meletakkan Semula Hajarul Asywad pada Tempatnya

Setiap suku Quraisy berbalah mengenai siapa yang berhak meletakkan batu tersebut ke dalam tempat asalnya dan hal ini hampir menimbulkan peperangan diantara suku.

Seorang tetua bernama Abu Umayyah bin Al-Mughirah bin Abdullah bin Umar bin Makhzum mengatakan:”Wahai kaum Quraisy ikutilah persetujuan mengenai perkara yang kamu pertikaikan itu, biarkanlah orang pertama yang masuk melalui gerbang masjid ini yang memutuskan masalah itu untukmu.”

Ketika itu, orang yang pertama kali masuk gerbang adalah Rasulullah s.a.w. Setelah diceritakan kepada beliau mengenai perkara tersebut, baginda memerintahkan untuk mengambilkan serbannya. Batu Hajar Aswad diletakkan oleh baginda di tengah serban dan ia menyuruh perwakilan setiap suku untuk mengangkatnya beramai-ramai pada tepi serban sehingga setelah sampai di tempatnya baginda meletakkan batu tersebut. [Lihat Sirah Ibnu Hisyam 1,233,234]

·        Bagaimana Ibn Az-Zubair r.a Membina  Kaabah Semula

Abdullah bin Az-Zubair r.a. lari ke Makkah kerana tidak berpendapat dengan Yazid bin Mu’awiyah. Yazid mengirimkan pasukan untuk menangkap Ibn Az-Zubair di bawah pimpinan Al-Husain bin Numair.

Kejadian terbakarnya Kizwah dikarenakan angin ribut menyebabkan Kaabah mulai roboh. Akhirnya Ibn Al-Zubair mengirimkan pesan yang memujuk Husain untuk tidak melakukan penyerangan. Setelah kepergian Husain dari Makkah, Ibn Az-Zubair melakukan perundingan dengan pembesar untuk melakukan perobohan Kaabah dan membinanya kembali sepertimana yang diperkatakan Rasullulah s.a.w. walaupun dalam proses sebelumnya banyak yang tidak setuju terutama Abdullah bin Abbas r.a.

Ibn Al-Zubair melakukannya kembali di atas dasar yang dibina oleh Nabi Ibrahim dan Ismail a.s., sebagaimana kaum Quraisy tidak berjaya dalam hal itu. Dalam kitab Bukhari dan Muslim diriwayatkan dari Aisyah r.a. bahwasanya Nabi s.a.w. mengatakan padanya:
”Apakah kamu tidak melihat bahawa ketika kaummu (iaitu Quraisy) membina kembali Kaabah, mereka tidak membina penuh di atas asas Nabi Ibrahim?”Aishah bertanya: Wahai Rasulullah, mengapa baginda tidak menempatkannya kembali di atas asas Nabi Ibrahim?”Rasulullah s.a.w. menjawab: Seandainya kaummu tidak begitu dekat dengan masa kekufuran (iaitu sangat baru di dalam islam), aku sudah melakukannya.”

Maka Ibn Al-Zubair menggabungkan Hijr kedalam binaan Kaabah, dan memberinya dua pintu, satu di sebelah timur dan satu lagi dibarat. Hal ini menyebabkan Ibn Zubair terbunuh. Al-Hajjaj memasuki Makkah dan menulis surat kepada Abdul Malik bin Marwan mengenai bahagian binaan Kaabah yang ditambah Ibn Al-Zubair. Abdul Malik bin Marwan membalas surat perintah kepada Al-Hajjaj untuk kembali mengubah pintu bahagian barat, sehingga pada saat ia mengetahui kebenaran hadis Aisyah r.a., ia menyesal terhadap apa yang diperintahkannya.

Pada masa pemerintahannya, khalifah Al-Walid bin Abdul Malik telah mengirimkan 36,000 dinar (wang emas) agar melapisi pintu, saliran air (mizab), tiang dan sudut bahagian dalam Kaabah dengan lapisan emas. Al-Walid adalah orang pertama dalam Islam yang menghiasi Kaabah dengan emas.

Ukuran Kaabah
Tinggi                                                                                 : 14.00 meter
Panjang di sudut Multazam (Hajarulaswad-Rukun Iraqi)      : 12.84 meter
Panjang di sudut Hijr Ismail (Rukun Iraqi-Rukun Syami)      : 11.28 meter
Panjang diantara rukun Yamani dan rukun Yamani               : 12.11 meter
Panjang antara Rukun Yamani dan Hajarulaswad                : 11.52 meter


Rajah 2. Kaabah


2.2  PERISTIWA PASUKAN GAJAH

Seorang raja Ethiopia bernama Abrahah di negeri Yaman telah mendirikan sebuah gereja yang dikenali sebagai Al-Qullais. Dia ingin mengalihkan ibadah haji orang Arab dari Kaabah ke gereja yang dibinanya. Ia menyerbu Kaabah dan memerintahkan tentera Abyssini yang berangkat dengan gajah.

Abdul Muthalib yang merupakan pemimpin sewaktu itu memberitahukan kaum Quraisy agar meninggalkan Makkah, mereka berdiri sambil memegang pintu Kaabah seraya berkata:
”Ya Allah, hanya kepada-Mu hambamu ini memohon pertolongan untuk melindungi Kaabah ini, maka lindungilah rumah-Mu ini ya Allah, Jangan biarkan kemarahan dan kekuatan mereka mengalahkan keagungan-Mu esok.”

Ketika Abrahah menyiapkan gajahnya untuk berjalan menuju Makkah, gajah-gajah itu tidak mahu bergerak dan merebahkan badannya. Kemudian Allah mengirim burung-burung dari laut dengan membawa batu neraka sebesar biji kacang adas yang mampu menghujani mereka semua sehingga mati tanpa bersisa seperti yang diterangkan Allah dalam surah Al-Fill:

”Tidakkah engkau (Muhammad) perhatikan bagaimana Tuhan-mu telah bertindak terhadap pasukan bergajah? Bukanlah Dia telah menjadikan tipu daya mereka itu sia-sia? Dan Dia mengirimkan kepada mereka burung  yang berbondong-bondong, yang melempari mereka dengan batu dari tanah liat yang dibakar, sehingga mereka Dijadikan-nya seperti daun-daun yang dimakan (ulat).”[Al-Fill:1-5]


2.3  ROSAKNYA KAABAH PADA AKHIR ZAMAN

Diriwayatkan dari Sa’id bin Sam’an bahawa ia mendengar Abu Hurairah r.a. memceritakan kepada Abu Qatadah bahawa Rasululah s.a.w bersabda:
”Seorang lelaki yang berada di antara Rukn dan Maqam akan dia sumpah untuk setia dan tidak seorangpun akan mengganggu kesucian rumah ini kecuali orang yang memilikinya. Ketika mengganggunya, jangan persoalkan tentang kerosakan orang-orang Arab. Kemudian pasukan Abyssini akan datang dan merosakkannya dengan segala cara sehingga bangunan itu tidak akan pernah dibangunkan kembali, dan mereka adalah orang-orang yang akan mendapatkan harta pusakanya.” [Ahmad 2/291]

Hadis ini bertentangan dengan hadis Aisyah r.a. yang di katakan Ibn Hajar dalam bukunya Fathul Bari, bab Hadam al-Kaabah: ”Ini menunjukkan bahawa Kaabah akan diserang, pada masa itu Allah SWT akan menghancurkan mereka sebelum mereka sampai ke Kaabah, dan pada masa lain pula Allah SWT akan membiarkan mereka sehingga sampai ke Kaabah, perkara ini memberi makna bahawa mereka yang menghancurkan Kaabah akan menerima padahnya seperti penyerangan yang pertama.”


*Mardalisa :)

No comments:

Related Posts with Thumbnails